Thursday 26 January 2012

SAMBUTAN TAHUN BARU CINA DI PARLIMEN BUKIT GANTANG


Pada 26 Jan 2012, PAS Kawasan Bukit Gantang telah menganjurkan sambutan Hari Raya Tahun Baru Cina. Sambutan pertama majlis tersebut diadakan di Taman Sungai Mas, Simpang Taiping (untuk DUN Changkat Jering ) mulai jam 3.00 petang. Kemudian pada jam 5.00 petang pula diadakan di Pekan Kuala Sapetang (untuk DUN Sapetang). Ramai masyarakat Cina telah hadir bersama-sama dimajlis tersebut. Pelbagai jamuan makanan dan minuman telah disediakan oleh pihak penganjur. Majlis tersebut diserikan juga dengan kehadiran kepimpinan yang terdiri dari Yang DiPertua Pas Kawasan Bukit Gantang AF Ust Nordin Jaafar, YB Dato' Seri Nizar Jamaluddin selaku Ahli Parlimen dan juga isterinya YBhg Datin Seri Fatimah Taat, AF Ust Idris Hj Ahmad yang merupakan AJK Pas Pusat, YB Tai Sing Ng ADUN Kuala Sepetang, Pengarah-pengarah MTD, Saf-saf pimpinan disemua peringkat termasuk AJK Pas Kawasan, Dewan Pemuda & Dewan Muslimat, ahli-ahli cawangan dan UPU-UPU, DHPP dan masyarakat setempat serta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, DAP dan Keadilan. Majlis dipengerusikan oleh AJK Badan Perhubungan PAS Perak Sdr Muhammad K.Y. Tiang. Penerangan melalui ceramah dan ucapan dari pimpinan-pimpinan adalah menjuruskan kepada pengundi supaya merealisasikan kemenangan PR diperingkat DUN dan Parlimen agar kerakusan, kezaliman, keborosan dan penyelewangan pemerintah sekarang ini dapat diubah dalam PRU13 akan datang.Menolak pemerintahan yang kronisme dan mengamalkan perkauman.

Dibawah ini dinukilkan mengapa dan sebab kenapa Sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan pada saban tahun:

Berbetulan Tahun 2012 ini, Tahun Baru Lunar (Imlek) jatuh pada hari Isnin 23 Jan 2012  yang merupakan  Tahun Baru Cina yang ke 2563 dengan Shio Naga Air.
Shio Naga Air  ini melambangkan kekuatan, kebaikan, keberanian, pendirian teguh. Naga juga merupakan lambang kewaspadaan dan keamanan dari semua makhluk mitologi China dan makhluk yang tertinggi menjadi Raja semua haiwan di alam semesta ini.
Mitologi Tahun Baru Imlek adalah berdasarkan cerita rakyat dan legenda kuno. Tahun Baru China dirayakan kerana masyarakat China berjaya melawan seekor haiwan mitos yang disebut sebagai NIAN yang bermaksud TAHUN dalam bahasa China. Makhluk Nian selalu  muncul pada hari pertama Tahun Baru dan kedatangan Nian adalah memusnah, membunuh dan memakan haiwan ternak, memakan hasil pertanian dan bahkan penduduk, terutama anak-anak.
Bagi usaha menyelamatkan dari serangan Nian ini, masyarakat kampung China akan menyediakan beberapa jenis makanan di hadapan pintu mereka pada hari pertama setiap tahun baru. Masyarakat percaya bahwa, jika Nian telah mengambil atau memakan makanan yang telah disediakan itu, maka Nian tidak akan lagi menyerang manusia atau penduduk kampung tersebut.
Suatu ketika, seorang penduduk telah menyaksikan seekor  Nian dalam keadaan ketakutan dan lari jauh dari seorang kanak-kanak yang memakai pakaian berwarna merah. Melalui kejadian itu, maka penduduk kampung akhirnya tahu akan kelemahan atau kekurangan Nian iaitu takut pada warna merah.
Semenjak itu, setiap menjelang dan pada bila-bila pun sambutan Tahun Baru, penduduk akan menggantung lentera merah serta memasang tirai atau kain merah pada pintu dan jendela. Selain itu, masyarakat juga menggunakan mercun untuk menakuti Nian.
Sejak dari kejadian itu, Nian tidak pernah lagi muncul di kampung mereka. Tahun Baru Cina merupakan saat pertemuan seluruh anggota keluarga sekali dalam setahun. Anggota keluarga akan berkasih-sayang, saling bercerita dan mendengar pengalaman masing-masing dalam tahun tersebut. Perayaan ini menjadi sangat bermakna tatkala setiap anggota keluarga dan jiran tetangga saling menjalin kasih-sayang, saling bermaafan dan memulai lembaran baru (dengan pakaian baru).

Sesama masyarakat akan mengucapkan dengan makna “ SELAMAT DAN SEMOGA BANYAK REZEKI” :

Loghat ucapan akan dibaca berbeza-beza:

Dalam Bahasa Mandarin:  “ GONG XI FACAI ”     
Dalam Bahasa Kantonis: “ KUNG HEI FAT CHOI ”     
Dalam Bahasa Hokkien:  “ KIONG HI HUAT CAI ”     
Dalam Bahasa Hakka:  “ KIONG HI FAT CHOI ”     
“ XINNIAN KUAILE " (新年快樂) bermakna SELAMAT TAHUN BARU 
Tulisan Tionghua Sederhana : 恭喜发财    Tulisan Tradisional : 恭喜發財 semua bermaksud : “ SELAMAT DAN SEMOGA BANYAK REZEKI” :


Oleh itu (walaupun mitos atau cerita lagenda kuno) marilah sama-sama mengambil intipati dari cerita itu untuk menolak kerakusan " NAGA YANG JAHAT "(iaitu yang menjadi pemerintah sejak hampir 54 tahun yang lalu) dalam PRU13 ini.


Sdr Muhammad K.Y. Tiang sedang mempengerusikan Majlis disamping menterjemahkan ucapan-ucapan pimpinan

AF Ust Idris sedang menyampaikan ucapannya ...." Insyaallah, sekiranya PR menang dan memerintah kita akan hapuskan Tol, GST dan harga minyak akan diturunkan.....

AF Ust Nordin Jaafar sedang menyantuni hadirin dengan gaya yang tersendiri hingga mencuit hati DSNJ & isteri, Ust Idris, YB Tai dan hadirin yang datang


Pimpinan yang amat disukai dan dikagumi oleh seluruh masyarakat ..".Gongxi Facai " 
                                                                            
YB Tai sedang berucap dalam bahasa Cina
                                                                                     

Mesra, muafakat dan bekerjasama untuk menuju kemenangan
                                                    
Gerai paling laris....Cendol
                                                                              
Datin Seri, Ust Idris , YDP Ust Nordin dan YB Tai sedang menyampaikan Angpow dan limau kepada kanak-kanak
                                                                               
Sebahagian Muslimat yang sedang bersiap siaga untuk melakukan  tugasan
                                                                            
Petugas dari Jabtan Unit Amal Kawasan yang sentiasa bertugas bagi menjayakan majlis disamping menjaga keselamatan
                                                                             
YB DS Nizar sedang mendengar aduan dari seorang penduduk Tionghua

Wednesday 25 January 2012

SUARA RAKYAT IALAH SENJATA RAKYAT

Berita yang amat mengembirakan dan akan menjadi ransangan kepada pejuang-pejuang keadilan di negara kita Malaysia ini adalah berita kemenangan besar Parti politik naungan Ikhwanul Muslimin - Freedom and Justice Party (FJP) diMesir baru-baru ini.
Dr Syed Azman b Ahmad Nawawi selaku Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat telah menemubual rakannya yang juga Timbalan Pengerusi FJP, Dr Essam El-Eryan dipejabatnya diKaherah untuk mengetahui mengenai bagaimana kebangkitan rakyat disana yang telah menyumbang kepada kemenangan yang besar dalam Pilihanraya itu. Beliau (Dr Essam) juga amat berharap apa yang berlaku diMesir akan dapat dicontohi oleh Malaysia selepas ini dalam PRU13 akan datang.

FJP mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi dan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi. 

Pimpinan kanan FJP, Dr Saad al-Katatni dalam sidang Parlimen pertama telah dilantik sebagai Ketua (SPEAKER) Majlis Rakyat yang pertama selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Dr Syed Azman berada di kota Kaherah pada sepanjang bulan lalu sebagai anggota rombongan Ahli Pemerhati Antarabangsa Pilihan Raya Mesir di bawah seliaan PBB yang  baru berakhir baru-baru ini.

Siapa pun tidak dapat menjangkakan Pilihan Raya boleh dijalankan dengan aman selepas 'Revolusi 25 Februari' yang telah berjaya menggulingkan rejim 'kuku besi' Hosni Mubarak dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat' yang turun secara sukarela berdemonstrasi di jalan-jalanraya di seluruh negara.

Punca kemenangan FJP, menurut Dr Essam adalah melalui susunan strategi yang diantaranya:

1. ORGANISASI KEMPEN FJP YANG TERSUSUN DAN BERSTRATEGIK.

2. TEKNIK ‘BANTUAN DAN KEBAJIKAN’ YANG EFEKTIF KEPADA PENGUNDI
    TERUTAMANYA DILUAR BANDAR.

3. PENDEKATAN KEMPEN KEPADA GOLONGAN REMAJA DAN ANAK MUDA YANG
    MESRA DAN BERSIFAT MEMENUHI REALITI SEMASA.

4. KEMPEN DARI RUMAH KERUMAH YANG BERTERUSAN.

5. MENGEMUKAKAN PELAN EKONOMI YANG DITERIMA RAKYAT.

6. KEMPEN MELALUI MEDIA BARU SEPERTI TWITTER DAN FACEBOOK YANG 
    AMAT BERKESAN.

Semoga kita dapat melakukan yang terbaik untuk mendaulatkan ugama Islam dibumi ini. Amin.



"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." Al-Anfal :60



Thursday 19 January 2012

NEGERI YANG MAKMUR KERANA PEMIMPIN YANG BAIK

Dakwaan tidak berasas oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa golongan agama, ustaz atau ulama tidak boleh menjadi pemimpin kerajaan dan tidak boleh menjalankan urus tadbir Negara dengan baik adalah meleset sama-sekali. 

YAB Datuk Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, Menteri Besar Kedah, ternyata seorang pemimpin yang berintegriti. Ini adalah kerana sifat kejujuran,amanah serta berkebolehan dalam mentadbirkan negeri maka hasil balak di negeri Kedah mencatatkan keuntungan berkali ganda.

"Semasa Umno BN perintah Kedah dulu, nampaknya balak dinilai dengan harga RM1,000 untuk satu ekar, tetapi setelah Datuk Seri Azizan menjadi Menteri Besar, satu ekar balak dinilai dengan harga RM19,000.”

"Keluasannya sama, jadi mana perginya 
RM18,000 lagi semasa Umno BN memerintah Kedah dulu?" satu pertanyaan diajukan secara sinis sebagai mengulas perkembangan memberangsangkan bagi ekonomi Kedah setelah berada di bawah pemerintahan PAS atau Pakatan Rakyat. 

Apabila DS Azizan menjadi Menteri Besar Kedah, semua pihak telah tahu hasil balak di Kedah telah meningkat sehingga menyebabkan semua pihak tertanya-tanya ke mana perginya hasil balak semasa BN memerintah Kedah dulu.

Sesebuah kerajaan itu apabila ia dipimpin oleh seseorang yang berpegang kuat dengan ajaran Islam dan bersikap jujur, berbanding mereka yang dikatakan bijak dalam memimpin tetapi tidak jujur, mengamalkan rasuah dan sering melakukan penyalahgunaan kuasa.    

DS Azizan berkata, pencapaian memberansangkan itu berlaku hasil dari sistem TENDER TERBUKA yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat yang berjaya memberi pulangan menggalakkan kepada negeri.

"Sistem tender terbuka yang diperkenalkan memberi pulangan positif kepada kerajaan dan rakyat negeri ini. Pada tahun 2008 yang lalu semasa pengambilalihan kuasa pentadbiran, hasil pungutan balak hanyalah sebanyak RM35 jutaIa meningkat kemudiannya kepada RM39 juta pada tahun 2009 yang lalu.

"Namun begitu pada 
tahun 2010 hasilnya premium balak berjaya mencecah sehingga RM50 juta," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau berkata, hasil ketelusan dan sistem tender terbuka yang menjadi polisi kepada Kerajaan Kedah turut membuktikan bahawa gejala rasuah dan kronisme dapat dielakkan.

Sebelum ini Ketua Audit Negara telah melaporkan Kedah berjaya meningkatkan pendapatan dari hasil balak sebanyak 205 peratus pada tahun 2010 jika dibandingkan dengan tahun sebelum 2008 semasa pemerintahan BN dengan mendapat pulangan dalam lingkungan RM8 juta sahaja.

Perkembangan yang meberangsangkan ini, boleh kita nilai sendiri sebagai satu ukuran perbandingan betapa perbezaannya dibawah pemerintahan yang ADIL, TELUS dan BERKEBAJIKAN.



 “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Tuesday 17 January 2012

MENGHALUSI FIKRAH KEAHLIAN DALAM JAMAAH YANG MEMPERJUANGKAN AGAMA ISLAM

 

Menyertai dan menjadi ahli PAS samada sudah lama atau baru  adalah menjadi satu kebanggaan kerana kita sama-sama dalam satu bahtera jamaah atau wadah yang memperdulikan dan mendaulatkan agama yang kita sayangi ini. Nawaitu akan diperhitung diatas keikhlasan kita. Mudah-mudahan Allah membantu dan meredhoi penglibatan kita ini.

Maka apabila telah diterima keahlian, bermakna kita telah terikat sudah dengan undang-undang dan peraturan parti seolah-olah kita telah berbai’ah dengan pimpinan bahawa berjanji untuk melaksanakan perintah dan arahan selagi mana tidak menyimpang dan berlawanan dengan kehendak Islam.

Manusia kena hidup dalam peraturan dan menurut disiplin. Apatah lagi didalam satu pertubuhan/parti yang menjulang Islam sebagai Ad-Din ini. Sekiranya tiada disiplin didalam satu-satu organisasi atau pertubuhan, manusia akan jadi kucar-kacir. Hatta dalam kehidupan bermasyarakat pun ada garis panduannya bagi mewujudkan satu masyarakat yang bertamaddun. Beginilah kehendak yang ditekankan kerana melalui disiplin, manusia dapat dibendung dari bertindak sendirian mengikut fikiran akal sendiri serta nafsu dan melakukan tindak-tanduk yang merugikan sesebuah pertubuhan itu. Berdisiplin itu adalah satu bentuk tarbiyyah yang perlu dihadhamkan didalam dada setiap ahli PAS.

Bergerak dan berjuang bersama-sama dalam satu jamaah untuk menegakan Islam dibumi nyata ini pernah disebut dalam sebuah hadis Nabi SAW yang mafhumnya begini:
” Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada Jamaah, maka terlucutlah ikatan Islam dari lehernya". 

Apabila tindak-tanduk yang boleh merugikan parti dan boleh memberikan impak yang  negatif kepada parti maka sudah tentu pimpinan akan bertegas dan menolaknya sama-sekali. Itupun setelah disiasat dan diberikan nasihat kerana atas dasar ”menolak mafasid itu lebih diutamakan dari mengambil masolehnya”. Perkara ini perlu ditegaskan kerana ia memberi ruang yang selesa bagi pihak lawan memanupulasikan kekuatan, keutuhan dan maruah parti ini. Gagasan masyarakat cepat melabelkan dan menilaikan yang negatif bahawa perjuangan PAS telah melencong dari asal penubuhannya. Sedangkan ikon tersebut mempamirkan perkara yang bukan berlandaskan kehendak parti khususnya.

Mari kita ambil iktibar dari apa yang berlaku dizaman Rasulullah SAW, iaitu kisah 3 orang sahabat yang tidak turut serta dalam Perang Tabuk (Tahun ke 9 Hijrah). Kisah yang menjadi teladan yang baik bagi kita semua. Salah seorang daripada mereka ialah Kaab bin Malik.

Apabila Nabi SAW pulang daripada perang Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid dengan tujuan untuk meminta maaf tetapi apa yang berlaku sebaliknya baginda menyuruh beliau pulang kerumah sehingga mendapat pengampunan daripada Allah Subhana hu wa Taala. Baginda mengarahkan orang ramai supaya jangan berurusan dengan mereka bertiga ini, ertinya mereka dipulaukan oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Pada suatu hari telah datang utusan Raja Ghassan dari Syam membawa surat  untuk memujuk Kaab bin Malik berpindah ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak memerlukannya lagi disini. Maka diambil oleh Kaab akan surat itu lalu dibakarnya kerana ini adalah merupakan ajakan yang merugikan dirinya dan Islam agar beliau terpengaruh supaya meninggalkan Islam.

Setelah masuk hari yang ke empat puluh maka datang arahan dari Nabi SAW menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala. 

Selama lima puluh hari lima puluh  malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada Baginda SAW memberi tahu bahawa Allah Subhanahu wa Taala telah mengampunkan mereka bertiga.

Kaab telah melakukan sujud syukur kemudian berlari menemui Nabi SAW. Ketika Kaab mengucapkan salam kepada Baginda, muka baginda nampak gembira dan ceria lalu baginda terus bersabda “Bergembiralah kamu pada hari ini wahai Kaab! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah pengampunan ini dari Allah ataupun dari engkau ya Rasulullah?” tanya Kaab dengan sabar. Jawab Nabi SAW, ”Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!”.
 
" Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW."ujar Kaab.

Lalu Ka’ab membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.


وَعَلَى الثَّلاَثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُواْ حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّواْ أَن لاَّ مَلْجَأَ مِنَ اللّهِ إِلاَّ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُواْ إِنَّ اللّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ


"Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat kerana tidak ikut berperang), hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita yang amat sangat), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada Nya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah, Dia lah Penerima Taubat Lagi Maha Mengasihani". 
( Surah At-Taubah 9:118)


Muhasabah kepada seluruh ahli PAS.
Tindakan disiplin yang dikenakan itu adalah merupakan sebahagian dari proses menjalani Tarbiyyah. Juga merupakan peluang bagi muhasabah diri sejauh mana kita telah berjaya melengkapi ujian dari Allah Taala kerana ketelanjuran atau kurang wala' kepada pimpinan semasa kita berparti.
Jika Kaab bin Malik pun telah ada cubaan memujuknya oleh Raja Ghassan yang bukan Islam, maka kita juga harus berwaspada bahawa kita akan sentiasa dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang tidak pernah penat mencari peluang meruntuhi pemuafakatan yang telah kita bina selama ini.AWAS !

Selamat Berjuang Menegakan Agama ALLAH....










Wednesday 11 January 2012

ZAKAT....... DAN ASNAF MANA YANG LAYAK MENERIMANYA?



Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah 9:60)

CERITANYA BEGINI:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu menjawab persoalan yang dibangkit  oleh Ketua Audit Negara, bahawa beliau,  Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain  kerana menggunakan  wang zakat   sebanyak RM63,650 kes saman  qazaf  Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat sedang menunggu penjelasan, asnaf mana yang membolehkan  beliau meminjam wang zakat? Apakah kedudukan beliau sebagai Gharimin (orang yang berhutang)? Faqir miskinkah? Fisabilillahkah?,Muallafkah?  Penjelasan yang beliau berikan terdahulu, tidak menjawab persoalan yang berbangkit. 
Beliau kena menjelaskan kepada rakyat supaya institusi agama yang memungut wang ini tidak di pandang serong oleh masyarakat. Kita tidak mahu kerana nila setitik , rosak susu sebelanga.
Beliau tidak perlu mengalih isu kepada tuduhan beliau ubah suai rumah. Tidak mengapa kalau beliau rasa perlu dan itu wangnya. Maklumlah seorang Menteri, mesti tunjuk rumah yang hebat setaraf dengan seorang bergelar Menteri.

APA ITU CERITA NFC?

Sebagai sebuah kerajaan yang memerintah, menjaga KESELAMATAN MAKANAN NEGARA (NATIONAL FOOD SECURITY) adalah menjadi satu tanggung-jawab yang amat penting.Buat masa ini, pergantungan mengimpot makanan dari negara luar masih menjadi amalan berterusan.

Pada tahun 1990 negara mengimport makanan sebanyak RM4.6 bilion dan mendadak meningkat kepada RM26.7 bilion pada tahun 2010. Negara seperti Thailand, Indonesia & Kemboja mempunyai iklim yang sama dengan Malaysia bagi aktiviti pertanian. Beras, cili, bawang dan beberapa jenis sayuran terpaksa dibeli dari luar,sedangkan Malaysia mampu dan mempunyai tanah pertanian yang luas.

Kes yang terbaharu sekali ialah National Feedlot Corporation (NFC). Peruntukan wang sebanyak RM250 juta telah diberi kepada sebuah syarikat ketika TPM (sekarang ini) menjadi Menteri Pertanian. 
Target pengeluaran lembu pada tahun 2010 sebanyak 60,000 ekor tetapi hanya mampu sebanyak 8000 ekor. Atas kegagalan projek ini (penjagaan keselamatan makanan) menyebabkan wang rakyat mengalir begitu banyak kerana negara terpaksa mengimport lembu daripada negara luar kerana kegagalan projek ini. 
Sebuah syarikat kroni ( syarikat keluarga Datuk Shahrizat Jalil ) yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian telah diberi bagi mengurus tadbir syarikat termasuk mengurus tadbir dana yang diperuntukan dalam menangani masalah kekurangan daging lembu

Kalau dikira secara kasarnya, wang sebanyak itu boleh membeli 125, 000 ekor lembu yang berharga RM2,000 seekor.

Cuba bayangkan pula 125,000 ekor lembu boleh diagihkan kepada 62,500 rakyat yang miskin, jika dua ekor sekeluarga.

Sekurang-kurang 62,500 keluarga yang miskin dapat dibantu kehidupan mereka. 

Tetapi apa boleh buat pemimpin negara bukan sahaja tidak menjaga kebajikan rakyat malahan ahlinya sendiri juga terbiar.

Isu-isu lain yang masih lagi menghantui kita masih kekal dalam ingatan sehingga kini. Contohnya seperti enjin kapal terbang yang hilang, kapal selam yang tidak boleh menyelam, RM32 juta wang PPRT lesap,stadium runtuh, perhentian bas Kuala Berang Runtuh dan banyak lagi.

Ini adalah lambang kebobrokan dasar BN yang gagal dalam urus tadbir yang cekap.

Rakyat tentu tidak lupa bagaimana cerdiknya pemimpin BN yang pernah jual saham BERNAS kepada syarikat Wan Tan di Hong Kong.

Jika sektor strategik pun kerajaan BN pernah jual kepada negara asing, apa pula yang lainnya?. Ini semua bahana kerana penyakit “KRONI DIUTAMAKAN, KEPENTINGAN RAKYAT DIKEMUDIANKAN."

Saturday 7 January 2012

MENYOROT SEMULA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2012 !

Kita sekarang sudah berada didalam tahun yang mencabar 2012 atau tahun Pilihan Raya Umum ke 13. Tahun 2011 mempunyai reputasi yang amat menusuk hati rakyat. Berikut adalah kenyataan petikan laporan tersebut supaya kita semua akan lebih matang dan berhati-hati dalam melayari tahun-tahun yang mendatang. 
Artikel ini mesti disemat disetiap hati rakyat sebagai pengetahuan semasa.


Sekali lagi, Laporan Ketua Audit Negara membongkar segala masalah yang berlaku di dalam Malaysia. Dan kali ini, Tan Sri Ambrin Buang membuat kenyataan bahawa hutang sebenar negara adalah RM 362.39 bilion! Jauh dari kenyataan Perdana Menteri semasa ucapan Bajet 2011 tempohari iaitu RM 233.92 bilion.

Berikut di bawah merupakan petikan teks kenyataan dari Ketua Audit Negara
Ketua Audit: Hutang negara pada paras tertinggi

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu PARAS YANG PALING TINGGI DALAM TEMPOH LIMA TAHUN.
Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.
Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.
Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.
Dalam laporannya, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.
Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan