Tuesday 17 January 2012

MENGHALUSI FIKRAH KEAHLIAN DALAM JAMAAH YANG MEMPERJUANGKAN AGAMA ISLAM

 

Menyertai dan menjadi ahli PAS samada sudah lama atau baru  adalah menjadi satu kebanggaan kerana kita sama-sama dalam satu bahtera jamaah atau wadah yang memperdulikan dan mendaulatkan agama yang kita sayangi ini. Nawaitu akan diperhitung diatas keikhlasan kita. Mudah-mudahan Allah membantu dan meredhoi penglibatan kita ini.

Maka apabila telah diterima keahlian, bermakna kita telah terikat sudah dengan undang-undang dan peraturan parti seolah-olah kita telah berbai’ah dengan pimpinan bahawa berjanji untuk melaksanakan perintah dan arahan selagi mana tidak menyimpang dan berlawanan dengan kehendak Islam.

Manusia kena hidup dalam peraturan dan menurut disiplin. Apatah lagi didalam satu pertubuhan/parti yang menjulang Islam sebagai Ad-Din ini. Sekiranya tiada disiplin didalam satu-satu organisasi atau pertubuhan, manusia akan jadi kucar-kacir. Hatta dalam kehidupan bermasyarakat pun ada garis panduannya bagi mewujudkan satu masyarakat yang bertamaddun. Beginilah kehendak yang ditekankan kerana melalui disiplin, manusia dapat dibendung dari bertindak sendirian mengikut fikiran akal sendiri serta nafsu dan melakukan tindak-tanduk yang merugikan sesebuah pertubuhan itu. Berdisiplin itu adalah satu bentuk tarbiyyah yang perlu dihadhamkan didalam dada setiap ahli PAS.

Bergerak dan berjuang bersama-sama dalam satu jamaah untuk menegakan Islam dibumi nyata ini pernah disebut dalam sebuah hadis Nabi SAW yang mafhumnya begini:
” Barangsiapa yang memisahkan dirinya daripada Jamaah, maka terlucutlah ikatan Islam dari lehernya". 

Apabila tindak-tanduk yang boleh merugikan parti dan boleh memberikan impak yang  negatif kepada parti maka sudah tentu pimpinan akan bertegas dan menolaknya sama-sekali. Itupun setelah disiasat dan diberikan nasihat kerana atas dasar ”menolak mafasid itu lebih diutamakan dari mengambil masolehnya”. Perkara ini perlu ditegaskan kerana ia memberi ruang yang selesa bagi pihak lawan memanupulasikan kekuatan, keutuhan dan maruah parti ini. Gagasan masyarakat cepat melabelkan dan menilaikan yang negatif bahawa perjuangan PAS telah melencong dari asal penubuhannya. Sedangkan ikon tersebut mempamirkan perkara yang bukan berlandaskan kehendak parti khususnya.

Mari kita ambil iktibar dari apa yang berlaku dizaman Rasulullah SAW, iaitu kisah 3 orang sahabat yang tidak turut serta dalam Perang Tabuk (Tahun ke 9 Hijrah). Kisah yang menjadi teladan yang baik bagi kita semua. Salah seorang daripada mereka ialah Kaab bin Malik.

Apabila Nabi SAW pulang daripada perang Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid dengan tujuan untuk meminta maaf tetapi apa yang berlaku sebaliknya baginda menyuruh beliau pulang kerumah sehingga mendapat pengampunan daripada Allah Subhana hu wa Taala. Baginda mengarahkan orang ramai supaya jangan berurusan dengan mereka bertiga ini, ertinya mereka dipulaukan oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala.
Pada suatu hari telah datang utusan Raja Ghassan dari Syam membawa surat  untuk memujuk Kaab bin Malik berpindah ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak memerlukannya lagi disini. Maka diambil oleh Kaab akan surat itu lalu dibakarnya kerana ini adalah merupakan ajakan yang merugikan dirinya dan Islam agar beliau terpengaruh supaya meninggalkan Islam.

Setelah masuk hari yang ke empat puluh maka datang arahan dari Nabi SAW menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Taala. 

Selama lima puluh hari lima puluh  malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada Baginda SAW memberi tahu bahawa Allah Subhanahu wa Taala telah mengampunkan mereka bertiga.

Kaab telah melakukan sujud syukur kemudian berlari menemui Nabi SAW. Ketika Kaab mengucapkan salam kepada Baginda, muka baginda nampak gembira dan ceria lalu baginda terus bersabda “Bergembiralah kamu pada hari ini wahai Kaab! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah pengampunan ini dari Allah ataupun dari engkau ya Rasulullah?” tanya Kaab dengan sabar. Jawab Nabi SAW, ”Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!”.
 
" Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW."ujar Kaab.

Lalu Ka’ab membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.


وَعَلَى الثَّلاَثَةِ الَّذِينَ خُلِّفُواْ حَتَّى إِذَا ضَاقَتْ عَلَيْهِمُ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ وَضَاقَتْ عَلَيْهِمْ أَنفُسُهُمْ وَظَنُّواْ أَن لاَّ مَلْجَأَ مِنَ اللّهِ إِلاَّ إِلَيْهِ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ لِيَتُوبُواْ إِنَّ اللّهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ


"Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat kerana tidak ikut berperang), hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita yang amat sangat), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada Nya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah, Dia lah Penerima Taubat Lagi Maha Mengasihani". 
( Surah At-Taubah 9:118)


Muhasabah kepada seluruh ahli PAS.
Tindakan disiplin yang dikenakan itu adalah merupakan sebahagian dari proses menjalani Tarbiyyah. Juga merupakan peluang bagi muhasabah diri sejauh mana kita telah berjaya melengkapi ujian dari Allah Taala kerana ketelanjuran atau kurang wala' kepada pimpinan semasa kita berparti.
Jika Kaab bin Malik pun telah ada cubaan memujuknya oleh Raja Ghassan yang bukan Islam, maka kita juga harus berwaspada bahawa kita akan sentiasa dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang tidak pernah penat mencari peluang meruntuhi pemuafakatan yang telah kita bina selama ini.AWAS !

Selamat Berjuang Menegakan Agama ALLAH....










1 comment: